Agensi Pelancongan Dibenar Beroperasi Dalam Tempoh PKPB – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 16 Mei – Kerajaan bersetuju membenarkan pejabat agensi pelancongan seluruh negara beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun, beliau berkata kebenaran pengoperasian hanya untuk tujuan pentadbiran, kewangan, pengurusan dan penjualan sahaja.

“Mereka juga boleh menyediakan pakej-pakej pelancongan sebagai persediaan pada masa hadapan sekiranya kerajaan membenarkan aktiviti pelancongan dimulakan. Setakat hari ini, aktiviti pelancongan masih dalam senarai terlarang,” katanya dalam sidang media harian PKPB, di sini, hari ini.

Ketika ditanya mengenai aduan terdapat agensi pelancongan yang tidak mahu memberi bayaran balik kepada pelanggan kerana perjalanan dibatalkan disebabkan PKP, Ismail Sabri meminta kedua-dua pihak duduk berbincang dalam mencapai situasi menang-menang.

“Sebenarnya hubungan kontrak atau perjanjian antara pelancong dan ejen tidak ada kena mengena dengan kerajaan, tetapi daripada segi kemanusian sepatutnya mereka (agensi) perlu pulangkan wang itu kerana mereka (pelanggan) bukan batalkan atas kehendak mereka tetapi terbatal kerana mereka tidak boleh keluar negara kerana polisi tidak membenarkan.

“Kalau tak terbang atau pulang duit mungkin boleh dibawa ke hadapan supaya mereka (pelanggan) tidak rugi dan agensi juga tidak rugi,” katanya yang turut memaklumkan telah meminta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) membantu pelanggan yang mengalami masalah tersebut.

Dalam sidang media itu Ismail Sabri turut memaklumkan, kerajaan membenarkan ahli program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang terkandas di luar negara untuk kembali ke negara ini, mulai esok.

Bagaimanapun setiap ahli program perlu membuat pemeriksaan kesihatan dan disahkan negatif COVID-19 terlebih dahulu sebelum dibenarkan berlepas pulang ke Malaysia.

“Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), mereka perlu mematuhi semua peraturan yang ditetapkan termasuk menjalani saringan kesihatan dan kuarantin wajib selama 14 hari dan kos kuarantin wajib perlu ditanggung sendiri oleh ahli program,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Nancy Shukri dalam kenyataan hari ini memaklumkan terdapat 253 ahli MM2H termasuk tanggungan mereka terkandas di luar negara dan beliau berharap kesemua mereka dapat bersabar dan memahami cabaran yang dihadapi kerajaan dalam menangani COVID-19.

Ismail Sabri turut memaklumkan bahawa kerajaan tidak membenarkan pengangkutan awam termasuk feri dan bas menaikkan caj tambang dalam tempoh PKPB kerana pada waktu ini harga minyak masih di tahap rendah.

“Biasanya kalau harga minyak naik, tambang pun naik tetapi bila harga minyak turun, tambang tak turun-turun juga…mengambil pertimbangan ini, kita faham mereka terpaksa membawa penumpang separuh kapasiti daripada biasa, tetapi kerugian mereka boleh ditampung dengan harga minyak yang rendah ketika ini,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.