Program ‘Residensi Prihatin’ Bina Rumah Mampu Milik Kepada Belia – Annuar

KUALA LUMPUR, 15 Mei – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) akan memperkenalkan Program ‘Residensi Prihatin’ kepada golongan belia berusia 35 tahun ke bawah untuk memiliki rumah pertama mereka di sekitar ibu kota.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata pihaknya telah mengenal pasti beberapa tapak di sekitar ibu kota bagi membina rumah-rumah mampu milik berharga RM200,000 dan ke bawah dengan pembiayaan bulanan di bawah RM1,000 sebulan.

“Saya memahami kebanyakan belia tidak membeli rumah sebaliknya menyewa sehingga usia 40-an, apabila dana simpanan ataupun gaji sudah tinggi baru ada kemampuan tetapi gagal mendapat pembiayaan atau pinjaman berikutan usia sudah lanjut.

“Inisiatif ini adalah bagi memastikan golongan belia ini boleh memiliki rumah sendiri seawal usia muda iaitu sekitar 24 dan 25 tahun dan selewat-lewatnya umur 35 tahun, tidak perlu rumah besar, yang semestinya ideal dan pratikal untuk memiliki rumah lebih murah daripada pasaran,” katanya ketika siaran langsung Facebook hari ini.

Katanya, menerusi program ‘Residensi Prihatin’, harga-harga rumah bukan lagi seperti program ‘Residensi Wilayah’ ataupun RUMAHWIP di bawah KWP yang bernilai RM300,000 dan ke atas tetapi lebih murah daripada harga pasaran.

Sementara itu, Annuar berkata pihaknya bercadang membangunkan satu ‘Soccer City’ di Putrajaya dengan kerjasama badan-badan bola sepak untuk didedikasi kepada sukan bola sepak negara.

“Kami mendedikasikannya kepada sukan bola sepak dengan kerjasama badan-badan serantau seperti AFF, AFC dan FAM… Stadium dan akademi bola sepak juga akan dibina sebagai pusat latihan pemain-pemain negara di sana.

“Selain itu, sebanyak empat hingga enam padang bola sepak awam akan ditambah supaya ia bukan sahaja dimanfaatkan oleh atlet-atlet bola sepak untuk latihan tetapi juga kepada orang awam bagi riadah dan bermain bola sepak,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.