Malaysia, China Komited Tingkat Kerjasama Pertahanan Sedia Ada

KUALA LUMPUR, 15 Mei – Malaysia dan China komited untuk terus mempertingkat kerjasama pertahanan sedia ada antara kedua-dua negara.

Kementerian Pertahanan dalam kenyataan hari ini memberitahu bahawa komitmen kerjasama itu dinyatakan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob apabila menerima panggilan telefon daripada Menteri Pertahanan China, Wei Fenghe pukul 4 petang ini.

“Ismail Sabri dan rakan sejawatnya itu turut membincangkan mengenai cabaran keselamatan serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama, termasuk Laut China Selatan,” demikian menurut kenyataan itu.

Selain itu, tumpuan perbincangan antara kedua-dua menteri turut berkisar kepada krisis global semasa iaitu wabak COVID-19.

“Dalam perbincangan itu, kedua-dua menteri berkongsi pengalaman mengenai langkah-langkah pencegahan dan kawalan yang dilaksanakan di negara masing-masing dalam menangani situasi COVID-19.

“Kedua-dua Menteri bersependapat bahawa adalah amat penting bagi setiap negara untuk terus bekerjasama dalam mendepani wabak COVID-19,” menurut kenyataan itu.

Menerusi kenyataan itu, Ismail Sabri turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pertahanan China atas sumbangan bekalan perubatan yang terdiri daripada 13 jenis peralatan perubatan.

“Sumbangan daripada pihak China ini akan membantu petugas barisan hadapan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” jelas kenyataan itu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.