Lengkapkan Diri Dengan Ilmu Teknologi Digital – Raja Muda Perlis

KANGAR, 15 Mei – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menggalakkan rakyat negeri ini mendalami kemahiran teknologi digital dan internet agar lebih bersedia menghadapi cabaran ekonomi dalam tempoh pasca COVID-19.

Baginda bertitah kebanyakan penganalisa ekonomi meramalkan kadar pengangguran akan meningkat dan peluang perkerjaan dalam sektor tertentu akan berkurangan dalam tempoh tersebut.

“Inilah masanya untuk rakyat membuat persediaan awal dengan mencipta peluang pekerjaan sendiri antaranya dengan membina laman sesawang untuk mengiklankan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan seperti perkhidmatan tuisyen dan sebagainya,” titah baginda menerusi satu kenyataan hari ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah berdasarkan keadaan hari ini, norma hidup masyarakat telah berubah apabila orang ramai lebih selesa membeli barangan secara dalam talian, membaca buku digital dan jarang keluar untuk membeli belah bagi mengelak risiko terkena jangkitan COVID-19.

Baginda bertitah sejak kebelakangan ini, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ramai individu berjaya hasilkan video menarik dan ia berpotensi dijadikan sebagai punca pendapatan.

“Kecenderungan norma hidup baharu masyarakat dalam tempoh beberapa bulan ini menunjukkan hala tuju baharu yang menuntut kepada kemahiran yang berkait rapat dengan teknologi digital dan internet dalam pelbagai sektor,” titah baginda. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.