Tindakan Kepada PR, Pemegang Pas Lawatan Sosial Jika Enggan Bayar Penginapan Kuarantin Wajib

PUTRAJAYA, 14 Mei – Anggota keluarga kepada rakyat Malaysia yang berstatus Pemastautin Tetap (PR) atau pemegang Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang akan dikenakan tindakan sekiranya enggan membayar kos penginapan sepanjang menjalani proses kuarantin wajib.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini bersetuju memberikan kebenaran kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk menarik balik keistimewaan diberikan kepada mereka.

Malah, beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata Pejabat Peguam Negara akan turut meneliti perkara itu dan mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka sehingga bayaran penginapan berkenaan dijelaskan.

“Seperti saya umumkan mengenai dasar kuarantin wajib ini… pasangan, isteri atau anak (kepada rakyat Malaysia) yang berstatus pemastautin tetap dan pemegang Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang yang balik ikut suami dan isteri (dari luar negara ketika tempoh PKP), mereka ini mesti tanggung kos hotel sendiri (pusat kuarantin).

“Namun, terdapat dalam kalangan mereka ini yang enggan membayar kos ini apabila mereka keluar daripada hotel penginapan mereka,” katanya dalam sidang media hariannya mengenai PKP di sini, hari ini.

Menjelaskan mengenai keistimewaan dan kemudahan yang boleh ditarik balik, beliau berkata: “Sebagai contoh, jika sebelum ini mereka dibenarkan memperbaharui pas mereka dua ke tiga tahun sekali, mungkin selepas ini mereka perlu memperbaharuinya setiap tiga ke empat bulan.”

Sementara itu, mengenai kebenaran rentas negeri bagi pasangan suami isteri yang tinggal berjauhan, Ismail Sabri berkata mesyuarat bersetuju memberikan kebenaran pergerakan rentas negeri untuk bertemu keluarga masing-masing seminggu sekali sahaja.

Bagaimanapun, katanya mereka yang berhasrat untuk berbuat demikian perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata kerajaan juga bersetuju untuk membenarkan perkhidmatan berkaitan pusat ekuestrian untuk beroperasi namun hanya mencakupi proses menjaga kebajikan haiwan terbabit.

“Kebenaran ini adalah untuk memastikan kebajikan haiwan dijaga termasuk pemberian makanan dan pembersihan kandang,” katanya. BERNAMA