Tengku Hassanal Berkenan Lanjut Tempoh Jawatan MB, Exco Pahang

KUANTAN, 14 Mei – Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melanjutkan tempoh memegang jawatan Menteri Besar dan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Pahang yang dijadualkan tamat hari ini dan Jun depan. 

Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman menerusi kenyataan media di sini hari ini berkata Tengku Hassanal berkenan supaya tempoh semua jawatan itu dilanjutkan sehingga tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri Pahang ke-14. 

“Tengku Hassanal juga menzahirkan tahniah kepada Menteri Besar dan Ahli Exco atas pelanjutan tempoh memegang jawatan itu dan berharap supaya mereka terus berkhidmat untuk rakyat dan negeri dengan lebih komited. 

“Dalam keadaan norma baharu akibat wabak COVID-19, baginda berharap Menteri Besar dan Ahli Exco dapat menggembleng segala usaha bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat tidak terjejas di samping berusaha mengekalkan pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya. 

Untuk rekod, tempoh memegang jawatan Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan lapan Exco iaitu Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin, Datuk Seri Mohd Johari Hussain, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Datuk Mohammad Fakhrudin Mohd Ariff, Datuk Nazri Ngah dan Abd Rahim Muda sepatutnya tamat pada hari ini. 

Semua mereka mengangkat sumpah memegang jawatan pada 15 Mei 2018 di hadapan Pemangku Raja Pahang semasa itu Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (kini Al-Sultan Abdullah) yang bertitah penetapan had masa tersebut bagi membolehkan baginda menilai prestasi mereka selain untuk menggalakkan barisan pentadbiran negeri bekerja keras. 

Manakala dua lagi Exco iaitu Datuk Seri Mohd Soffi Abdul Razak dan Datuk Abd Aziz Mat Kiram pula mengangkat sumpah jawatan pada 5 Jun 2018 dan tempoh lantikan mereka tamat pada 4 Jun ini. -BERNAMA 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.