Sultan Sallehuddin Tiba Di Kedah Hari Ini, Dijadual Terima Menghadap 23 Adun Esok

ALOR SETAR, 14 Mei – Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas di sini pada kira-kira 11.45 pagi tadi.

Ketibaan baginda yang diiringi Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff disambut oleh Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim dan Mufti Kedah Datuk Fadzil Awang.
Baginda sebelum ini dilaporkan berada di Kuala Lumpur.

Susulan perkembangan politik semasa di Kedah, difahamkan Sultan Sallehuddin akan menerima menghadap 23 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Perikatan Nasional (PN) esok.

Bagaimanapun, belum ada sebarang kenyataan rasmi mengenainya dikeluarkan mana-mana pihak.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan sebanyak 23 akuan bersumpah (SD) daripada ADUN Kedah telah dipersembah kepada Sultan Sallehuddin dengan mencadangkan calon baharu menteri besar negeri itu.

Menurut laporan itu, yang memetik Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan, SD tersebut diserahkan ketika Presiden UMNO, PAS dan BERSATU menghadap Sultan Sallehuddin di Kuala Lumpur semalam.

Pada Selasa, dua ADUN PKR, Azman Nasrudin (Lunas) dan Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam) mengumumkan keluar parti serta menyatakan sokongan kepada kerajaan PN di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada hari sama, Ketua Pembangkang DUN Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan 19 daripada 36 ADUN Kedah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Mukhriz.

Muhammad Sanusi mendakwa empat ADUN BERSATU juga telah hilang kepercayaan kepada Mukhriz, yang merupakan Timbalan Presiden BERSATU.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.