Pengurusan Kondo, Pangsapuri Perlu Benarkan Penduduk Pulang

PUTRAJAYA, 14 Mei – Pihak pengurusan kondominium dan pangsapuri digesa supaya membenarkan dan tidak menghalang penduduk atau penyewa untuk pulang ke kediaman mereka.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata arahan tidak membenarkan penghuni pulang ke kediaman bukanlah prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan kerajaan semasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Oleh itu beliau berharap pihak pengurusan kondominium dan pangsapuri tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan SOP mereka sendiri.

“Saya harap mereka (pengurusan) tidak mengambil tindakan sendiri, setiap SOP atau arahan mestilah berdasarkan apa yang dikeluarkan kerajaan.

“Saya difahamkan ramai (penduduk) yang balik dari kampung tetapi tidak boleh masuk ke kondo masing-masing, (malah) mereka terpaksa pula menyewa di tempat lain untuk menanti kebenaran untuk mereka pulang ke kediaman,” katanya pada sidang media harian mengenai PKP di sini, hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata antara syarat utama sebelum tapak binaan dibenarkan beroperasi adalah untuk memastikan adanya pegawai keselamatan dan kesihatan.

Katanya kerajaan juga telah membuat keputusan untuk membenarkan pengubahsuaian dan pembaikan dilakukan di kediaman berstrata dan bertingkat.

Menurutnya SOP berserta soalan lazim sektor pembinaan boleh dirujuk di laman web Kementerian Kerja Raya dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.