Kes Baharu COVID-19 Kekal Dua Angka, 70 Sembuh, Satu Kematian – KP Kesihatan

PUTRAJAYA, 14 Mei – Kes positif COVID-19 hari ini mencatat 40 kes baharu, mengekalkan angka antara yang terendah direkodkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu itu, 31 kes adalah dalam kalangan bukan warganegara Malaysia dan tiada kes import dilaporkan.  

“Oleh itu, jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 6,819 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,356 kes,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini, hari ini. 

Beliau berkata sehingga kini, 16 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, empat kes memerlukan bantuan pernafasan. 

Sebanyak 70 kes sembuh dan dibenarkan discaj hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 5,351 kes atau 78.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. Satu kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia sebanyak 112 kes. BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.