Parlimen: Persiapan Rapi Pastikan Persidangan 18 Mei Ikut SOP

KUALA LUMPUR, 13 Mei – Persiapan rapi bagi persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada Isnin lancar dan bebas COVID-19 giat dilakukan oleh pihak Pengurusan Parlimen dengan bantuan pelbagai agensi berkaitan.

Enggan mengambil mudah dan tidak mahu menanggung sebarang risiko penularan wabak itu, Pengurusan Parlimen mengambil tindakan sewajarnya untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan Kementerian Kesihatan (KKM) walaupun persidangan kedua-dua dewan itu hanya akan berlangsung sehari.

Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia, Datuk Kamis Samin berkata bagi memastikan parlimen bebas daripada virus COVID-19, semua Ahli Dewan Rakyat dan Senator serta mereka yang bertugas pada hari itu perlu menjalani saringan COVID-19.

Saringan oleh petugas kesihatan Kementerian Kesihatan yang dijalankan hari ini melibatkan kakitangan Parlimen, kontraktor dan petugas pembersihan serta petugas media yang akan bertugas pada hari persidangan Isnin ini.

“Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara pula, mereka akan menjalani saringan esok dan Jumaat. Ini bagi memastikan semua yang terlibat dengan persidangan itu bebas jangkitan virus kerana kita tidak mahu tercetusnya kluster Parlimen,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Bagi memastikan persekitaran bangunan Parlimen bersih daripada COVID-19, Jabatan Bomba dan Penyelamat akan menjalankan proses nyahkuman di kawasan bangunan utama Parlimen Ahad ini dan selepas persidangan selesai.

Selain ujian saringan COVID-19, prosedur operasi standard (SOP) lain juga akan dipatuhi antaranya mengimbas suhu badan semua yang akan memasuki bangunan itu, menyediakan cecair pembasmi kuman di pintu utama selain pelitup separuh muka untuk ahli dewan rakyat dan senator.

“Tempat duduk sedang disusun bagi memastikan jarak sosial ketika persidangan termasuk menggunakan tempat yang biasanya digunakan oleh pegawai kerajaan, jemputan dan pegawai pengiring. Kami akan pastikan semua ahli dewan dapat masuk bersidang mengikut SOP ditetapkan,” kata Kamis.

Beliau berkata, pihak pengurusan Parlimen bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan keperluan dari segi kawalan pencegahan untuk memastikan keselamatan semasa sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara berlangsung.

Persidangan Parlimen yang sepatutnya dijadualkan pada 9 Mac sehingga 16 April, diadakan selama sehari pada 18 Mei dengan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 dijadual disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.