Aktiviti Ziarah Dibenarkan Bagi Hari Pertama Perayaan Sahaja – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 13 Mei – Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah memutuskan untuk menghadkan aktiviti ziarah pada Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai untuk hari pertama perayaan sahaja susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata aktiviti ziarah itu hanya terhad kepada ahli keluarga terdekat sahaja dan tidak boleh melebihi 20 orang pada satu hari.

“Jumlah maksimum 20 orang sehari ini juga perlu mengambil kira saiz kediaman masing-masing bagi memastikan prosedur operasi jarak sosial dapat diamalkan. Katakan rumah flat 600 kaki persegi, 20 orang dalam satu (masa) terlalu ramai dan sukar ada jarak sosial. Jadi mungkin jumlah individu itu perlu dikecilkan.

“Prosedur operasi standard berkaitan amalan penjagaan kesihatan perlu diikuti sewaktu berkunjung seperti pemakaian pelitup separuh muka, cecair pembasmi kuman dan basuh tangan dengan sabun sewaktu menziarah,” katanya pada sidang media harian mengenai PKPB di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, amalan ini perlu diamalkan dan diterapkan kerana kerajaan tidak mahu apa yang berlaku di negara lain terjadi di negara ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.