UAE-Malaysia Intai Pelbagai Bentuk Kerjasama Selain Tangani COVID-19 – Hishammuddin

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Malaysia intai pelbagai lagi bentuk kerjasama yang dapat dijalinkan selain usaha menangani COVID-19, kata Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Menurut beliau kerjasama ini bukan sahaja bertujuan memudahcara urusan rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara tetapi juga bagi mendapatkan ubat untuk merawat serta vaksin untuk mencegah wabak itu.

“Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih khususnya kepada Menteri Luar dan Kerjasama Antarabangsa UAE Sheikh Abdullah Zayed Al Nahyan serta kepimpinan tertinggi Kerajaan UAE.

“Sesungguhnya, sumbangan ini membuktikan keakraban hubungan dua hala Malaysia-UAE yang telah terjalin sekian lama,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Hari ini Kementerian Luar turut menerima sumbangan peralatan perubatan daripada UAE yang terdiri daripada 14,000 unit cecair pembasmi kuman yang dianggarkan lebih kurang tujuh tan.

Majlis penyampaian sumbangan itu turut disiarkan secara langsung dalam laman Facebook rasmi Hishammuddin yang menyaksikan Kerajaan UAE diwakili oleh Duta UAE ke Malaysia, Khalid Ghanim Mohammad Al-Ghaith manakala Wisma Putra diwakili oleh Ketua Setiausaha Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob.

Menurut Hishammuddin, sebahagian peralatan perubatan yang disumbangkan oleh Kerajaan UAE hari ini dikhususkan bagi menjayakan inisiatif Malaysia’s Diplomatic Equipment Stockpile (MDES) yang akan diagihkan kepada petugas barisan hadapan COVID-19 Wisma Putra di dalam negara serta perwakilan-perwakilan Malaysia di luar negara.

Beliau berkata selain menyumbangkan peralatan perubatan melalui MDES, UAE turut bermurah hati menyumbangkan pelbagai lagi bentuk peralatan perubatan termasuklah Test Kits For Antigen kepada Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Wisma Putra pada 30 Mac lepas.

Selain itu, Malaysia turut menerima peralatan tambahan daripada Kerajaan UAE pada 27 April lepas iaitu 20,000 unit RT PCR Test Kits; 37,000 unit IgC IgM Test Kits; 20,000 unit Viral Transport Medium Swab; dan satu unit Automated Extraction Machine.

Berkaitan MDES, Hishammuddin berkata sejak inisiatif itu dilancarkan pada 30 Mac lepas, sambutan serta penerimaannya sangat baik khususnya di laman sosial Wisma Putra dengan petugas barisan hadapan COVID-19 Wisma Putra termasuk di perwakilan-perwakilan Malaysia di luar negara telah berkongsi peralatan perubatan yang telah mereka terima hasil inisiatif itu.

MDES bukan sahaja menerima pelbagai bentuk sumbangan daripada individu, syarikat korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di dalam negara tetapi juga di peringkat antarabangsa.

Hishammuddin turut mengalu-alukan semua pihak untuk turut menyumbang melalui MDES serta menzahirkan penghargaan dan sokongan yang tidak berbelah-bahagi kepada petugas barisan hadapan COVID-19 Wisma Putra. – BERNAMA