Sidang DUN Johor Khamis Ini Ikut Peraturan Ditetapkan

JOHOR BAHRU, 12 Mei – Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang dijadualkan Khamis ini akan mengambil kira peraturan ditetapkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Speaker DUN Johor Suhaizan Kaiat berkata sidang berkenaan diteruskan dengan hanya dihadiri Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Speaker, Ahli Eksekutif dan Ahli-ahli Majlis Diraja yang dibenarkan berada di dalam dewan.

“Walaupun kami adakan sidang DUN 14 hari bulan ini, kami ikut SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan seperti penjarakan sosial. Ahli dewan duduk selang satu kerusi dan hari ini kami telah pun lakukan sesi latihan protokol atau raptai.

“Pada hari persidangan itu nanti, akan ada lagi saringan kesihatan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri yang hadir dan semua yang terlibat dan saya yakin persidangan akan berjalan dengan lancar, ” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Kota Iskandar di sini hari ini.

Suhaizan dalam pada itu berkata, beliau yakin tidak akan berlaku sebarang provokasi atau kekecohan pada persidangan Khamis ini kerana persidangan perasmian yang akan dirasmikan Sultan Ibrahim melibatkan ucapan baginda sahaja dan akan berlangsung dalam tempoh yang pendek.

“Setelah selesai ucapan Tuanku, kami tangguhkan persidangan pada satu tarikh yang akan ditentukan kemudian. Selain itu, sehingga kini saya tidak menerima sebarang usul atau rundingan daripada mana-mana pihak jadi tidak timbul soal akan ada provokasi pada perasmian persidangan itu nanti,” katanya.

Suhaizan juga memberi jangkaan persidangan berikutnya akan berlangsung pada September nanti.

Ketika ditanya mengenai terdapat usul menyingkirkan beliau sebagai Speaker DUN, beliau berkata ada mendengar (mengenai perkara itu) tetapi tiada sebarang usul diterima ketika ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.