Senarai Exco Perak Lengkap, Tiga Lagi Angkat Sumpah Jawatan

IPOH, 12 Mei – Teka teki mengenai tiga lagi kekosongan kerusi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak terjawab hari ini, selepas tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah jawatan.

Tiga ADUN berkenaan, kesemuanya daripada UMNO mewakili Barisan Nasional (BN) adalah Khairul Shahril Mohamed (Bota), Mohd Zolkafly Harun (Lintang) dan Ahmad Saidi Mohamad Daud (Changkat Jering).

Kesemua wakil rakyat itu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, sebelum perasmian persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri Perak Ke-14, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Sultan Nazrin semasa perasmian bertitah: “Tiga orang lagi telah Beta perkenan mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada pagi ini. Laksanakan tanggungjawab dengan penuh jujur, ikhlas, berteraskan undang-undang, dan berlandaskan perlembagaan”.

Pada 31 Mac, tujuh ADUN mengangkat sumpah jawatan sebagai Exco di Istana Kinta di sini, berikutan penjajaran politik di Perak selepas Perikatan Nasional mendapat mandat membentuk kerajaan dan mengambil alih pentadbiran daripada Pakatan Harapan.

Tiga daripadanya adalah daripada BN iaitu Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak Datuk Saarani Mohamad (Kota Tampan); Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin (Kampong Gajah); dan Datuk Shahrul Zaman Yahya (Rungkup).

Turut mengangkat sumpah dua ADUN PAS iaitu Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria (Gunung Semanggol) dan Mohd Akmal Kamaruddin (Selama).

Dua lagi ADUN daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi (Tualang Sekah) dan Abdul Yunus Jamahri (Kuala Kurau).

Komposisi terkini 59 kawasan DUN Perak terdiri daripada BN (25); DAP (16); Amanah (lima); Bersatu (empat); dan masing-masing tiga daripada PKR, PAS dan Bebas. – BERNAMA