UMNO, PAS Kedah Adakan Pertemuan Tertutup, Bincang Kedudukan Kerajaan Negeri

ALOR SETAR, 10 Mei – Kesemua 17 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS dan UMNO hari ini mengadakan pertemuan tertutup lebih tiga jam bersama pimpinan PAS Pusat di Kompleks PAS Kedah di sini.

Pertemuan yang bermula pada 10 pagi itu turut dihadiri Naib Presiden PAS Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan, Pesuruhjaya PAS Kedah Ahmad Yahaya dan Pengerusi UMNO Kedah Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Ahmad Samsuri ketika ditemui pemberita selepas pertemuan itu berkata pelbagai isu dibincangkan termasuk berkaitan kedudukan kerajaan negeri, namun enggan mengulas lanjut mengenainya.

Ditanya sama ada perbincangan turut menyentuh mengenai calon Menteri Besar Kedah baharu daripada PAS, Ahmad Samsuri berkata: “Sekarang ini Kedah ada lagi menteri besar, so buat masa ini Datuk Seri Mukhriz (Tun Mahathir) masih Menteri Besar,” katanya.

Rabu lalu, PAS Kedah dilaporkan berkeyakinan untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri bersandarkan semangat kerjasama Muafakat Nasional PAS-UMNO selain mendakwa wujud permasalahan dalam kalangan ADUN Pakatan Harapan (PH).

Pada masa ini PAS mempunyai 15 kerusi di Dewan Undangan Negeri Kedah dan UMNO dua kerusi, sementara kerajaan negeri yang diterajui Bersatu dan PH memiliki 19 kerusi. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.