Idris Jusoh dilantik Pengerusi FELDA

KUALA LUMPUR, 10 Mei – Bekas Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Pengerusi Lembaga Pengarah agensi terbabit, berkuat kuasa pada 1 Mei lalu.

Ahli Parlimen Besut itu mengambil alih daripada Tan Sri Mohd Bakke Salleh yang meletak jawatan sebagai Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah FELDA.

Mohd Bakke sebelum ini dilantik sebagai Pengerusi FELDA untuk penggal selama dua tahun, berkuat kuasa mulai 1 Julai 2019 sehingga 30 Jun 2021.

Pengarah Besar FELDA, Datuk Dr Othman Omar, yakin pengalaman dan kepimpinan Idris berupaya menerus serta mempercepatkan usaha pemulihan agensi terbabit, selain menzahirkan penghargaan terhadap pelbagai sumbangan Bakke selama ini.

Othman menyifatkan pengerusi terdahulu amat komited dalam membawa pelbagai pembaharuan dan strategi pemulihan, terutama untuk menjayakan pelan transformasi menerusi inisiatif Kertas Putih FELDA.

“Komitmen beliau (Bakke) memberikan semangat kepada seluruh warga FELDA untuk terus berusaha dengan lebih gigih untuk memastikan organisasi ini terus maju dan mencapai pertumbuhan yang stabil serta lestari.

“Kami sentiasa mendoakan yang terbaik untuk beliau dan mengucapkan selamat maju jaya dalam perjalanan karier beliau seterusnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Idris sebelum ini pernah menyandang pelbagai jawatan, termasuk Menteri Pengajian Tinggi, dari Julai 2015 hingga Mei 2018 dan Menteri Pendidikan II dari 16 Mei 2013, selain Menteri Besar Terengganu (2004-2008), Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta Timbalan Menteri Usahawan (1995-1999).

Beliau berkelulusan Ijazah Sains Sosial (ijazah kelas pertama) dari Universiti Sains Malaysia (1980) dan Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) dari University of New Haven, USA (1988), malah mempunyai kelulusan Bahasa Arab dari Universiti Jordan (1993-1994) serta Pengurusan Lanjutan dari Universiti Harvard, USA (2001) dan INSEAD Perancis (2008).- BHOnline

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.