COVID-19: Jumlah Kumulatif Kes Pulih, Discaj Kini 74.8 Peratus – KP Kesihatan

PUTRAJAYA, 9 Mei – Jumlah kumulatif kes COVID-19 yang telah pulih sepenuhnya dan telah didiscaj daripada wad kini mencapai 74.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya merekodkan 65 lagi kes pulih baharu hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes mereka yang telah pulih sebanyak 4,929.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan pertambahan 54 lagi kes baharu dengan 45 kes membabitkan bukan warganegara, menjadikan kes positif COVID-19 kini berjumlah 6,589 kes.

“Ingin dimaklumkan bahawa daripada 54 kes baharu yang dilaporkan hari ini, satu kes dari luar turut dilaporkan. Ini bermakna, kes penularan tempatan adalah sebanyak 53 kes, dengan tiga kes telah dikesan dari kluster dan lokaliti di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata berdasarkan maklumat terkini yang dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) satu lagi kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan hari ini yang menjadikan jumlah kumulatif kes kematian sebanyak 108 kes.

Kes kematian itu melibatkan kes ke-2,499 yang merupakan wanita tempatan berusia 74 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit autoimun, darah tinggi dan penyakit tiroid yang telah dirawat di Hospital Melaka sejak 29 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 11.23 malam , semalam.

Sehingga kini juga, seramai 18 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, enam kes memerlukan bantuan pernafasan.

Perkembangan terbaharu kes COVID-19 hari ini menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah sebanyak 1,552 kes, kata beliau. 

Dalam pada itu Dr Noor Hisham turut memaklumkan satu lagi kluster baharu yang melibatkan pekerja asing di Setia Alam, Selangor yang telah dikesan pada 6 Mei apabila menerima notifikasi daripada sebuah hospital swasta.

Hospital itu telah menjalankan saringan COVID-19 ke atas pekerja-pekerja yang bakal kembali bertugas dan mendapati tiga kes disahkan positif COVID-19 daripada lima pekerja yang disaring.

“Ketiga-tiga kes positif itu merupakan warga Bangladesh yang berkongsi tempat kediaman yang sama dengan 18 orang lain. Susulan itu, siasatan dan saringan bagi kontak rapat ketiga-tiga kes itu telah dijalankan,” katanya.

Katanya sehingga 12 tengah hari ini, seramai 28 orang berkaitan kluster itu telah disaring untuk COVID-19 dan daripada jumlah keseluruhan itu 12 kes didapati positif dengan kesemua kes-kes itu melibatkan warga Bangladesh.

“Sembilan kes pula didapati negatif dan tujuh kes masih menunggu keputusan. Punca jangkitan kluster ini juga masih dalam siasatan,” katanya.

Berhubung perkembangan kluster membabitkan pekerja di sebuah kilang di Pedas, Negeri Sembilan, setakat pukul 12 tengah hari ini, seramai 28 kes baharu didapati positif COVID-19, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 bagi kluster itu sebanyak 88 kes.

Ia membabitkan 81 kes bukan warganegara iaitu 33 kes warga Nepal,  26 kes warga Bangladesh, 11 kes warga Indonesia dan 11 kes warga Myanmar. – BERNAMA