PKP: Tahap Kepatuhan Tinggi, Rakyat Faham Tujuan PKP – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 8 Mei – Kadar pematuhan rakyat Malaysia terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan adalah tinggi kerana sebahagian besar daripada mereka telah memahami dengan jelas tujuan perintah itu dikuatkuasakan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata selain patuh terhadap perintah yang dilaksanakan kerajaan dalam usaha membendung penularan jangkitan wabak COVID-19 di negara ini, sebilangan besar rakyat juga mampu mendisiplinkan diri sendiri untuk mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) yang telah dikeluarkan.

“Apabila PKP pertama diperkenalkan, walaupun ia satu perkara yang tidak pernah dijangka oleh seluruh rakyat hingga terpaksa duduk di dalam rumah dan tidak boleh keluar, tetapi mereka tetap patuh dari segi keseluruhannya.

“Saya faham walaupun mereka agak merungut tetapi mereka tetap patuh dan faham kenapa kerajaan melaksanakan PKP. Berbanding dengan negara lain ada yang dilihat melakukan demonstrasi menentang PKP. Bila arahan kata jangan keluar rumah mereka keluar bergembira, adakan konsert di pantai dan sebagainya,” katanya kepada Bernama.

Ismail Sabri berkata demikian ketika diminta mengulas kelakuan dan tindakan rakyat Malaysia yang jauh berbeza dalam mematuhi peraturan kerajaan khususnya PKP jika dibandingkan dengan sesetengah rakyat negara lain.

Mengulas lanjut, beliau berkata walaupun ketika ini kerajaan sudah memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang lebih longgar namun tidak ada rakyat Malaysia yang sengaja mengambil kesempatan untuk keluar rumah tanpa keperluan.

“Kita jangkakan akan berlaku kelam-kabut pada hari pertama PKPB dilaksanakan atau berlaku huru-hara sikit, tetapi apabila saya sendiri berjalan dan melihat di beberapa kawasan pusat membeli-belah di ibu negara nampaknya keadaan terkawal.

“Dalam tempoh PKPB ini juga sudah tiada had waktu untuk mereka keluar melebihi 10 malam serta tiada sekatan jalan raya dibuat, namun mereka boleh patuh apabila arahan kata keluar jika perlu dan mereka memang keluar jika perlu,” tambahnya.

Menurut Ismail Sabri lagi, keadaan itu jelas menunjukkan bahawa rakyat Malaysia mampu melakukan kawalan kendiri bagi mengawal diri masing-masing untuk berdisiplin dalam mematuhi SOP ditetapkan.

Sehubungan itu beliau turut menasihati orang ramai untuk meneruskan momentum kawalan kendiri masing-masing serta menjadikannya sebagai budaya baharu dalam kalangan rakyat Malaysia.

Beliau turut mengambil contoh sikap kawalan kendiri yang tinggi kalangan penduduk Taiwan yang menjalani kehidupan bebas tanpa PKP, namun mereka merekodkan jumlah kematian serta bilangan kes baharu yang paling rendah akibat COVID-19 setakat ini. – BERNAMA