R&R Ditutup Untuk Kegunaan Perjalanan Rentas Negeri – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 6 Mei – Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di semua lebuh raya termasuk gerai makan dan surau ditutup untuk kegunaan orang awam yang melakukan perjalanan rentas negeri selama empat hari bermula esok.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata hanya penggunaan tandas di kawasan R&R sahaja dibenarkan.

“Justeru mereka yang terlibat dinasihatkan untuk membawa bekalan makanan sendiri kerana gerai makanan ditutup dan pihak berkuasa juga akan berada di setiap R&R untuk memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya pada sidang media harian di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata bagi perjalanan yang jauh, orang ramai dibenarkan untuk berhenti rehat di kawasan itu namun perlu berada dalam kenderaan sahaja, selain operasi stesen minyak turut dibuka dari pukul 6 pagi hingga 12 malam di sepanjang lebuh raya.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini mengeluarkan jadual pergerakan rentas negeri selama empat hari bermula esok bagi membolehkan orang ramai yang terkandas disebabkan penguatkuasaan PKP pulang ke kediaman masing-masing. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.