Sebar Fitnah : Kementerian Kesihatan Buat Laporan Polis

PUTRAJAYA, 5 Mei – Kementerian Kesihatan hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan yang mendakwa lima pegawai menteri dan kementerian itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam kenyataan hari ini, kementerian itu memaklumkan, laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Putrajaya berhubung fitnah di beberapa akaun Facebook termasuk di akaun “Teuku Shafiz Rullah”, “STEADYAKU47” dan akaun twitter “Fadzilah Mamat@fadzilahmamat.”

Menurutnya, hantaran Facebook dan kicauan Twitter berkenaan mendakwa SPRM menahan dua pegawai kanan Menteri Kesihatan dan tiga pegawai kementerian.

Hantaran itu antara lain mendakwa “Menteri Kesihatan juga terlibat” dalam siasatan SPRM terhadap syarikat yang memperoleh kontrak RM30 juta, menurut kenyataan itu.

“Kementerian Kesihatan melahirkan rasa kesal terhadap fitnah tersebut,” kata kementerian itu, sambil berharap pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dapat melakukan siasatan terhadap pemilik akaun Facebook dan Twitter berkenaan serta mengambil tindakan sewajarnya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.