Perbadanan Labuan Beri Diskaun 30 Peratus Pajakan 108 Lot Tanah

KUALA LUMPUR, 4 Mei – Perbadanan Labuan memberi diskaun 30 peratus ke atas pajakan108 lot tanah miliknya yang dipajakkan kepada 85 syarikat yang menjalankan aktiviti berkaitan minyak dan gas, logistik, komersial, kejuruteraan awam serta pelancongan di Labuan.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata pemberian diskaun itu adalah penambahan program Inisiatif Wilayah Cakna yang diumumkan sebelum ini bagi meringankan beban Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta Perusahaan Mikro di Wilayah Persekutuan Labuan yang terkesan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Penambahan Inisiatif Wilayah Cakna ini dapat meringankan beban yang ditanggung syarikat-syarikat yang tidak beroperasi semasa PKP di Wilayah Persekutuan Labuan.

“Ini selari dengan inisiatif kerajaan Persekutuan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dalam mengatasi bencana global ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata ia melibatkan 95 perjanjian dan tempoh pemberian diskaun ini adalah selama lima bulan, mulai Mac sehingga Julai depan dengan keseluruhan kos yang perlu ditanggung kerajaan bagi pemberian diskaun berkenaan berjumlah RM987,292.82.

“Terdapat 78 perjanjian bagi kadar pajakan di bawah RM10,000; sebanyak 17 perjanjian bagi kadar pajakan RM11,000 hingga RM50,000 dan satu perjanjian bagi kadar pajakan melebihi RM100,000 sebulan,” katanya.

Syarikat yang berkenaan boleh menghubungi Jabatan Penilaian, Pelaburan dan Pengurusan Harta, Perbadanan Labuan di talian 087-408650 untuk sebarang pertanyaan lanjut.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.