Johor Laksana PKPB Sebagaimana Kerajaan Persekutuan

ISKANDAR PUTERI, 4 Mei – Kerajaan Negeri Johor akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebagaimana yang telah diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 1 Mei lalu.

Menteri Besar Datuk Ir Hasni Mohammad berkata kerajaan negeri sudah bersiap sedia untuk menghadapi segala kemungkinan selain yakin mempunyai kapasiti pusat kuarantin dan kepakaran perubatan yang mencukupi. 

Dalam menjayakan PKPB di negeri ini, pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kesihatan Negeri Johor serta Pejabat Kesihatan Daerah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Keselamatan Negara Johor akan bekerjasama, katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan pusat, Hasni berkata pengubahsuaian SOP boleh dibuat sekiranya PBT mendapati terdapat keperluan berbuat demikian.

“Kami dimaklumkan kerajaan persekutuan bahawa kami tidak perlu mengikuti langkah itu sepenuhnya ..ia bergantung kepada kapasiti setiap pihak berkuasa. 

— LAGI

 

PKPB-JOHOR (HASNI) 2 (AKHIR) ISKANDAR PUTERI

 

“Sekiranya sesuatu SOP itu berkehendakkan ia dilakukan pengubahsuaian, maka pihak kerajaan memberi kuasa untuk PBT berbuat demikian,” katanya. 

Selain itu, Hasni berkata kerajaan negeri akan menumpukan kepada penjagaan di kawasan sempadan negeri kerana Johor mempunyai banyak pintu masuk selain berjiran dengan Singapura.

“Kita telah pun memastikan bahawa agensi berkaitan mempunyai tenaga yang cukup dan telah meneliti SOP yang ditetapkan kerajaan persekutuan serta berdasarkan keupayaan yang ada pada semua agensi termasuk PDRM,  Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan agensi berkaitan…  maka SOP yang ditetapkan itu membolehkan kawalan sempadan yang ketat di Johor,” kata beliau. 

Selain itu, Johor mengambil inisiatif membangunkan aplikasi ‘Jejak Johor’ untuk memantau pergerakan individu bagi tujuan keselamatan.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.