COVID-19: Ujian Saringan Dijalankan Bagi Pekerja, Penghuni Pusat Jagaan Warga Emas – KP Kesihatan

PUTRAJAYA, 3 Mei – Kementerian Kesihatan (KKM) memutuskan untuk menjalankan ujian saringan COVID-19 kepada pekerja dan penghuni pusat jagaan warga emas secara berfasa, memandangkan warga emas adalah kumpulan berisiko tinggi untuk jangkitan COVID-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata berdasarkan maklumat yang diperolehi melalui kajian kematian ke atas 99 daripada 105 kes kematian yang telah dilaporkan di Malaysia, kumpulan umur yang mempunyai bilangan kematian COVID-19 yang tertinggi adalah di antara 61 hingga 70 tahun.

“Kumpulan umur yang mempunyai bilangan kematian COVID-19 yang tertinggi adalah di antara 61 sehingga 70 tahun, iaitu 32 kes dengan 32.2 peratus, dan kumpulan umur kedua tertinggi adalah di antara 71 sehingga 80 tahun iaitu 19 kes dengan 19.2 peratus.

“Saringan ini akan dijalankan secara berfasa, dimulakan dengan 17 buah Rumah Sri Kenangan dan Rumah Ehsan, di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Seterusnya akan dijalankan saringan di 357 buah pusat jagaan yang berdaftar di bawah Akta 506 dan 26 buah pusat jagaan yang berdaftar di bawah Akta 586,” katanya dalam sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham memaklumkan terdapat hampir atau lebih 1,000 buah pusat jagaan warga emas swasta yang tidak berdaftar, di bawah mana-mana akta.

Beliau menyarankan pihak Pejabat Kesihatan Daerah, mengenal pasti pusat jagaan warga emas swasta, termasuk institusi pondok agama di daerah masing-masing, justeru pengusaha pusat jagaan swasta digalakkan untuk berhubung dengan Pejabat Kesihatan Daerah terdekat.

Dalam pada itu, berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula esok, beliau menyeru kepada warga emas, agar terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mengelak keluar daripada rumah, kecuali untuk urusan-urusan yang penting sahaja.

Beliau turut menasihati warga emas serta orang ramai untuk menghubungi ‘Virtual Health Advisory’, sekiranya memerlukan khidmat nasihat melalui portal KKM dari 8.30 pagi hingga 5.00 petang setiap hari.

“Warga emas yang perlu mendapat rawatan penyakit kronik di klinik kesihatan, mereka dinasihatkan agar datang untuk rawatan susulan mengikut tarikh dan masa temujanji, yang ditetapkan.

“Bagi mengurangkan kekerapan kedatangan dan kesesakan di klinik untuk mengambil bekalan ubat separa, KKM telah menyediakan perkhidmatan farmasi dengan perkhidmatan tambahan seperti; Ubat Melalui Pos’ (UMP), ‘Locker2U’, Sistem Pendispensan Ubat Bersepadu (SPUB) dan Farmasi Pandu Lalu, mengikut kesesuaian perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya. – BERNAMA