Risiko Penularan COVID-19 Secara Mendadak Di Malaysia Masih Wujud – KP Kesihatan

PUTRAJAYA, 2 Mei  – Risiko penularan COVID-19 secara mendadak di negara ini masih wujud sekiranya rakyat lalai dan alpa dalam mengamalkan normal baharu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata oleh itu, kerjasama dan komitmen semua lapisan masyarakat dalam memainkan peranan masing-masing adalah sangat penting bagi memastikan kita berjaya menewaskan wabak tersebut.

“KKM (Kementerian Kesihatan) ingin mengingatkan rakyat Malaysia bahawa pandemik COVID-19 ini belum berakhir.

“Secara global, sebanyak 187 negara terkesan dengan jumlah kes positif COVID-19 yang kini mencecah 3,343,777 dengan 238,650 kematian,” katanya dalam sidang media harian perkembangan COVID-19 di KKM di sini.

Hari ini, jumlah kes baharu positif COVID-19 di Malaysia kembali mencatat tiga angka dengan 105 kes selepas 15 hari berturut-turut mencatat dua angka sejak 17 April lepas. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.