PDRM Terima Lebih 500,000 Permohonan Menerusi Aplikasi Gerak Malaysia – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 2 Mei – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima lebih 500,000 permohonan orang ramai melalui aplikasi Gerak Malaysia untuk pulang bekerja, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata PDRM akan menyediakan jadual pergerakan yang bermula dari 7 Mei-10 Mei ini bagi tujuan itu.

“Kita akan membenarkan rakyat terperangkap di kampung untuk pulang ke bandar dan sebagainya. PDRM akan membuat kenyataan media mengenai penjelasan yang lebih terperinci mengenai perkara itu.

“Bagi penjawat awam tidak perlu tergesa-gesa untuk balik pada hari ini atau esok walaupun pejabat dibuka pada Isnin ini kerana Ketua Setiausaha Negara (KSN) bersetuju mereka (penjawat awam) tidak perlu memulakan kerja pada Isnin,” katanya pada sidang media harian di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata pihak majikan diminta supaya jangan mengambil sebarang tindakan terhadap pekerja mereka yang belum mendapat kelulusan dari PDRM untuk pulang memulakan tugas pada Isnin ini.

“Saya minta kerjasama majikan-majikan di syarikat swasta beri ruang kepada pekerja mereka untuk memulakan kerja berdasarkan jadual disediakan pihak polis.

“Jadi janganlah mengambil tindakan kalau pekerja mereka tidak mula kerja pada Isnin depan kerana permulaan perjalanan adalah pada Khamis (7 Mei). Diharap tidak ada pekerja-pekerja yang diambil tindakan oleh majikan-majikan swasta kerana ini bukan pilihan pekerja mereka tetapi berdasarkan jadual dikeluarkan PDRM,” katanya.

Beliau berkata kerajaan akan meminta Kementerian Sumber Manusia untuk melihat daripada segi perundangan jika tindakan boleh diambil terhadap majikan yang mengenakan tindakan (disiplin) kepada pekerja mereka.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.