Keputusan Buka Semula Ekonomi Tidak Dibuat Terburu-buru

KUALA LUMPUR, 2 Mei – Keputusan membenarkan sebahagian aktiviti ekonomi disambung kembali mulai Isnin ini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa empat bukan satu tindakan tergesa-gesa memandangkan kerajaan telah mengkaji dan memastikan negara memenuhi syarat yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kerajaan bagaimanapun tidak memaksa mana-mana syarikat untuk memulakan semula operasi dengan segera kerana ada perniagaan yang mungkin perlu melaksanakan persediaan terlebih dahulu serta memenuhi pula syarat yang ditetapkan kerajaan.

“Contohnya, bagi restoran, pemilik perlu memastikan premis dapat dibersihkan dan sebagainya…jadi tak semestinya semua bahagian ekonomi dapat dibuka nanti,” katanya dalam program Eksklusif di saluran TV3 hari ini.

Beliau berkata berdasarkan pelan enam fasa yang digariskan WHO — memutuskan (resolve), berdaya tahan (resilient), memulakan semula (restart), pemulihan (recovery), menggiatkan (revitalise) dan membuat pembaharuan (reform), 6R — untuk kerajaan membuka semula ekonomi, negara kini berada pada fasa ketiga.

“Seterusnya kita berharap sebelum akhir Mei ini, Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) akan dapat mengumumkan program bagi pelan pemulihan.

“Ini kerana setiap industri mengalami impak berlainan, contohnya industri pelancongan terjejas paling teruk kerana COVID-19, kita akan mempunyai pelan yang berbeza untuk industri tersebut,” katanya.

Mengenai kadar pengganguran dan penutupan perniagaan, Tengku Zafrul berkata isu tersebut bukan dihadapi oleh Malaysia sahaja malah Amerika Syarikat dan Eropah turut mencatatkan kadar pengganguran lebih tinggi.

Beliau berkata bagaimanapun di Malaysia isu itu ditangani menerusi peruntukan subsidi upah RM13.8 bilion yang diumumkan kerajaan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat termasuk penambahan peruntukan RM7.9 bilion di bawah pakej tambahan PKS.

“Kita mahu seramai mungkin rakyat untuk kekal mempunyai pekerjaan, dan Pertubuhan Keselamatan Sosial menjangkakan 500,000 pekerja akan terjejas, yang boleh menjadi lebih teruk (sekiranya tanpa pakej Prihatin),” katanya.

Selain itu, beliau berkata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia mungkin mengalami unjuran menguncup 3.0 hingga 4.0 peratus susulan penguatkuasaan PKP yang melebihi lima minggu, berbanding -2.0 hingga 0.5 peratus seperti diumumkan Bank Negara Malaysia ketika PKP berlangsung bagi minggu kedua.

Mengenai nisbah hutang berbanding KDNK, yang kini berada pada 51 peratus, beliau berkata hutang negara dijangka tidak meningkat memandangkan ia masih berada di antara dua dengan tiga peratus di bawah had tersebut.

“Kita ada siling untuk hutang luar negara iaitu RM35 billion. Kita masih ada ruang,” katanya.

Bagi perancangan jangka panjang, beliau menasihatkan syarikat serta usahawan kecil dan sederhana supaya melabur dalam bidang digital serta melengkapkan perniagaan dengan ilmu yang betul dalam menuju ke arah Industri 4.0. – BERNAMA