Bekalan Makanan Cukup, Jangan Buat Pembelian Panik

KUANTAN, 2 Mei – Orang ramai diminta tidak melakukan pembelian panik susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai Isnin ini, kerana bekalan makanan mencukupi, termasuk di sepanjang bulan Ramadan dan semasa sambutan Aidilfitri.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata orang ramai tidak perlu risau kerana bekalan makanan semasa cukup untuk tempoh sehingga sembilan bulan.

Beliau berkata pihaknya menjangka mungkin akan berlaku sedikit pembelian panik minggu depan kerana ramai individu berada di luar rumah disebabkan kelonggaran yang diberikan menerusi PKPB, selain ramai sudah menerima gaji, dan bayaran fasa kedua Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sudah dibuat ketika itu.

Bagaimanapun katanya harga barang bekalan makanan secara umumnya tetap terkawal, dengan ada sesetengah barang mencatatkan sedikit kenaikan dan ada juga penurunan, bergantung kepada permintaan serta bekalan.

Bercakap kepada pemberita selepas melakukan tinjauan bekalan makanan di premis pemborong makanan Golden Hp Agency Sdn Bhd, di sini hari ini beliau berkata, tindakan tegas akan diambil kepada peniaga yang menyorok dan menaikkan harga sesuka hati.

“Sebelum ini semasa hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), memang berlaku pembelian panik di bandar-bandar besar di seluruh negara, mungkin kerana mereka bimbang apa yang dibeli itu tidak mencukupi. Namun Isnin ini, saya ingin menyeru rakyat supaya membeli sekadar perlu sahaja,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.