COVID-19: 69 Kes Baharu Dicatat, Satu Kematian

PUTRAJAYA, 1 Mei – Kes baharu positif COVID-19 kekal pada dua angka dengan 69 kes baharu dicatatkan setakat pukul 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes dalam negara setakat ini ialah 6,071 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 12 kes adalah kes import manakala 57 lagi merupakan kes penularan tempatan.

Menurutnya hari ini juga terdapat 39 kes yang telah pulih dan dibenarkan pulang ke rumah dengan jumlah kumulatif sembuh adalah 4,210 kes iaitu 69.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes manakala 37 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 14 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,758 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan terkini COVID-19 di sini, hari ini.

Sementara itu Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa hari ini terdapat satu kes kematian dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia 103 kes atau 1.69 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham menasihatkan majikan dan pekerja mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Beliau berkata semua majikan dan warga pekerja perlu membiasakan dan mempraktikkan normal baharu dalam kehidupan dan cara kerja bagi memastikan penularan jangkitan COVID-19 dapat terus dibendung.

“Ini adalah amat penting sekali, agar semua usaha yang telah dijalankan selama ini dalam memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 terus berkesan,” katanya.

Beliau berkata penduduk Malaysia bagaimana pun perlu kekal duduk di rumah dan hanya keluar rumah untuk urusan yang perlu sahaja di samping terus mengamalkan kebersihan diri yang tinggi seperti kerap membasuh tangan dengan air dan sabun, dan amalkan jarak sosial yang selamat.

Terdahulu Perdana Menteri mengumumkan kerajaan akan melaksanakan PKPB dengan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan mulai 4 Mei ini.

Muhyiddin berkata langkah itu susulan dua daripada enam strategi dan perancangan kerajaan dalam memerangi wabak iaitu ketegasan dalam tindakan mengawal COVID-19 dan membina ketahanan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin telah membuahkan hasil.

Bagaimanapun, aktiviti melibatkan perhimpunan ramai dan mendedahkan orang awam kepada risiko jangkitan wabak masih tidak dibenarkan. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.