Ketua Menteri Nasihatkan Pelajar IPT Yang Pulang Ke Rumah Terus Patuh PKP

MELAKA, 29 April – Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali menasihatkan semua pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang dibenarkan pulang ke rumah, untuk terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki fasa keempat bermula hari ini hingga 12 Mei.

Beliau berkata sebagaimana pelajar IPT mematuhi fasa-fasa PKP sebelum ini yang bermula 18 Mac lepas di IPT masing-masing, begitu juga mereka turut perlu mematuhi PKP ketika berada di kampung halaman atau di rumah.

“Mereka perlu mematuhi arahan ini dengan sentiasa memakai penutup hidung dan mulut, kerap membasuh tangan dengan air dan sabun serta mengamalkan jarakan sosial,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Isnin lepas, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata seramai 1,128 pelajar IPT Awam dan Swasta, akan balik kampung dalam tempoh 24 jam bermula malam itu.

Sementara itu, Sulaiman berkata dalam tempoh PKP fasa keempat, kerajaan negeri akan mematuhi apa jua keputusan kerajaan pusat, termasuk memberi kebenaran dan kelonggaran beroperasi bagi sektor perniagaan, industri serta aktiviti ekonomi lain di negeri ini.

Katanya kerajaan negeri akan bermesyuarat dengan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kaedah terbaik, yang perlu dipatuhi terutama bagi sektor perkilangan untuk meneruskan operasi 24 jam.

“Jika aktiviti perniagaan ini kembali dibenarkan beroperasi, mereka mesti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan. Sekiranya ini dapat dipatuhi semua pihak termasuk peniaga dan pemain industri yang terlibat, kerajaan negeri yakin pandemik COVID-19 dapat dipulihkan,” katanya.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.