Hampir 5,000 Pelajar Balik Kampung Esok – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 28 April – Hampir 5,000 lagi pelajar insitusi pengajian tinggi (IPT) akan mula bergerak balik ke kampung masing-masing esok yang akan melibatkan pergerakan di dalam zon yang sama.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata untuk zon utara ia akan melibatkan seramai 653 pelajar, zon timur (1,165), manakala di Sabah (lebih 2,000), Labuan (11), dan Sarawak (833).

“Malam tadi seramai 790 pelajar IPT telah bergerak pulang ke kampung masing-masing di zon utara iaitu Kedah, Perlis dan Pulau Pinang yang melibatkan sembilan universiti.

“Malam ini seramai 88 pelajar lagi dari zon utara akan bergerak ke zon tengah daripada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang, Universiti Sains Malaysia (USM) dan UiTM Merbok, Kedah,” katanya dalam sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan di sini, hari ini.

Kesemua pelajar berkenaan akan dihantar pulang menaiki bas yang sama digunakan untuk menghantar pelajar ke zon utara malam tadi yang akan dinyahkuman terlebih dahulu.

Semalam, Ismail Sabri berkata seramai 1,128 pelajar IPT awam dan swasta akan balik kampung dalam tempoh 24 jam. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.