COVID-19: Senarai Berita Palsu Tular Setakat 10 Pagi, 28 April – KKMM

KUALA LUMPUR, 28 April – Berikut adalah senarai penafian berita tular dalam media sosial oleh agensi yang bertanggungjawab melalui kenyataan media Pasukan Respons Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) pagi ini.

1.Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Rina Mohd Harun menafikan dakwaan Bantuan Bakul Makanan untuk golongan isi rumah B40 yang terjejas akibat PKP hanya diedarkan di kawasan Ahli Parlimen tertentu sahaja. Beliau menjelaskan pengagihan dibuat berdasarkan permohonan bukan hanya daripada Ahli Parlimen bahkan pelbagai pihak termasuk jawatankuasa masjid, ketua kampung dan badan bukan kerajaan (NGO). Bantuan Bakul Makanan diagihkan melalui permohonan daripada 108 pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara.

2. Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menafikan dakwaan pihaknya mengeluarkan statistik berkaitan pekerja asing tanpa izin. DOSM menjelaskan pihaknya hanya mengeluarkan data awalan Statistik Tenaga Buruh (STB) bagi tahun 2019 pada 11 April 2020 yang merangkumi statistik tenaga buruh warganegara dan bukan warganegara sahaja. Orang awam disarankan mendapatkan statistik rasmi melalui portal DOSM di www.dosm.gov.my atau media sosial DOSM @StatsMalaysia. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.