KKM, KPT Bangunkan Garis Panduan Berkaitan Pelajar Balik Kampung

PUTRAJAYA, 27 April – Garis panduan berhubung aspek kesihatan bagi pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang pulang ke kampung halaman dibangunkan Kementerian Kesihatan (KKM) bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan, Pusat Kesihatan Universiti (PKU) di IPT masing-masing akan membuat saringan bagi pelajar merangkumi pemeriksaan suhu badan, saringan gejala batuk, selesema, sakit tekak atau sukar bernafas.

“Pelajar dinasihat supaya sentiasa mengikut langkah-langkah pencegahan seperti mengamalkan jarak sosial selamat sekurang-kurangnya satu meter dari orang lain dan menjaga kebersihan diri, dengan kerap membasuh tangan dengan air dan sabun.

“Pelajar juga digalakkan memakai penutup mulut dan hidung di sepanjang perjalanan,” katanya dalam sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.

Hari ini Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata seramai 1,128 pelajar IPT awam dan swasta, akan balik kampung dalam tempoh 24 jam bermula malam ini.

Bagaimanapun KPT memaklumkan hanya pelajar yang berada dalam zon hijau sahaja dibenarkan pulang ke kampung mereka yang juga terletak dalam zon hijau.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata bagi ketua rumah yang perlu keluar membeli barang-barang keperluan seharian, KKM menyeru orang ramai untuk mengelak 3C iaitu kawasan yang sesak (crowded place), sempit (confined space) dan bertutur dengan jarak yang dekat (close conversation). – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.