PERTIWI Terima Lebih 300 Aduan Sehari

PUTRAJAYA, 26 April – Talian Pertanyaan dan Aduan Kepada Menteri Wilayah Persekutuan (PERTIWI) merekodkan lebih 318 aduan dan pertanyaan dalam tempoh satu hari.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa berkata, jumlah tersebut direkodkan semalam yang mana 182 daripada aduan dan pertanyaan itu meliputi bidang kuasa kementeriannya manakala 136 soalan lagi menjurus kepada isu awam.

“Antara aduan yang dikemukanan adalah flat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang retak kerana ada pembinaan pam air di Datuk Keramat, Kuala Lumpur. Penduduk iaitu Siti Zuraiha Bidin menyatakan lebih sebulan tiada penyelesaian.

“Untuk makluman Jabatan Perumahan sudah menyediakan rumah projek perumahan rakyat (PPR) bagi yang terkesan dan mereka telah pun masuk sehari sebelum puasa. Bila saya semak, nama Siti Zuraiha tidak ada dalam senarai mereka yang terlibat (tujuh keluarga) dan ditawarkan rumah.

“Oleh itu, jika (Siti Zuraiha) terlibat secara langsung dan masih tercicir, minta segera berhubung dengan Bahagian Perumahan (DBKL) untuk diberikan rumah,” katanya menjawab aduan ketika sidang LIVE Facebook, Sabtu.

Menurut Annuar, selain aduan tersebut, pihaknya masih menerima aduan berkenaan deposit bazar Ramadan yang tidak dibatalkan pelaksanaan tahun ini kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sehubungan itu, beliau sekali lagi meminta penganjur bazar atau persatuan supaya memulangkan semula kutipan deposit penganjuran kepada ahli berikutan ia tidak diserahkan kepada DBKL dan bukan di bawah bidang kuasanya.

Bagi pertanyaan individu bernama Rashid iaitu penduduk boleh berniaga di rumah atau sebaliknya ketika tempoh PKP, jelas Annuar, pada masa ini, hanya restoran dan kedai yang berada di bangunan kekal sahaja dibenarkan namun perkara tersebut boleh dibincangkan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk maklumat lanjut. – WILAYAHKU

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.