Klinik Veterinar Swasta Dibenar Operasi, Atas Temu Janji

PUTRAJAYA, 26 April – Kerajaan bersetuju membenarkan klinik veterinar swasta beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa, umum Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau bagaimanapun berkata operasi klinik berkenaan hanya dibenarkan berdasarkan kepada janji temu pemilik haiwan terlibat sahaja.

“Pemilik haiwan boleh menghubungi klinik veterinar berdekatan dengan lokasi tempat tinggal mereka untuk mendapatkan tarikh janji temu dahulu bagi elak kesesakan di klinik berkenaan.

“Langkah ini juga bertujuan mengawal pergerakan secara besar-besaran,” katanya pada sidang media harian mengenai PKP di sini hari ini.

Pada masa sama, Ismail Sabri melahirkan kekecewaan dengan peningkatan penangkapan individu yang ingkar PKP iaitu sebanyak 577 orang semalam, berbanding 386 pada hari sebelumnya.

Katanya, sebelum ini beliau lega kerana jumlah tangkapan terhadap individu yang ingkar PKP menunjukkan penurunan selama tiga hari berturut-turut sehingga Jumaat.

“Tetapi hari semalam kembali meningkat, jadi saya ingin mengingatkan bahawa PKP belum ditamatkan,” tegasnya, sambil mengingatkan bahawa polis akan bertindak tegas kepada sesiapa sahaja yang melanggar PKP.

Beliau berharap pematuhan terhadap PKP itu juga diteruskan di zon hijau walaupun di kawasan berkenaan menunjukkan tiada kes baharu atau tiada lagi kes positif COVID-19, namun arahan terhadap perintah tersebut masih diteruskan seperti biasa. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.