Operasi Pasar Awam Di Pahang Hingga 2 Petang – MB Pahang

KUANTAN, 25 April – Kerajaan negeri Pahang membenarkan pasar awam di negeri ini beroperasi sehingga pukul 2 petang berkuatkuasa serta merta, berbanding 12 tengah hari seperti yang ditetapkan selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan itu dibuat demi kepentingan semua peniaga pasar selepas mengambil kira aduan peniaga khususnya penjual daging yang berdepan kekangan masa apabila mereka hanya mempunyai tempoh selama lima jam untuk menjual daging apabila pasar mula beroperasi pukul 7.00 pagi.

“Peniaga daging meminta tempoh (operasi pasar awam) dilanjutkan bagi memberikan masa yang mencukupi untuk mereka menjual daging selepas mengambil masa yang agak lama untuk menyelesaikan kerja melapah daging.

“Operasi masa sebelum ini, menyebabkan ada peniaga bimbang daging yang dilapah pada sebelah pagi setiap hari tidak sempat dijual sebelum pasar ditutup pada 12 tengah hari,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Wan Rosdy juga mengingatkan peniaga pasar awam untuk terus akur kepada syarat yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan ketetapan yang perlu dipatuhi sepanjang pelaksanaan PKP termasuk dalam aspek jarak sosial. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.