Sultan Johor Nasihat Umat Islam Manfaatkan Ramadan Sebaiknya

JOHOR BAHRU, 24 April – Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini menasihati umat Islam negeri ini supaya memanfaatkan bulan Ramadan dengan sebaiknya dengan meningkatkan amal ibadah di rumah, bermuhasabah diri serta bertawakal kepada Allah SWT.

Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam laman Facebook baginda, Sultan Ibrahim bertitah Ramadan kali ini membawa suatu kelainan yang tidak pernah dirasai rakyat sebelum ini, berikutan pandemik COVID-19.

“Bangsa Johor yang beragama Islam khususnya tidak dapat bertarawih dan membuat ibadah lain di masjid seperti biasa. Manakala Bangsa Johor yang lain secara amnya pula tidak dapat menikmati Bazar Ramadan yang dinanti-nantikan,” titah baginda menerusi hantaran tersebut.

Sultan Ibrahim menambah baginda mengakui bahawa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilalui semua rakyat ketika ini tidak mudah untuk semua.

Titah baginda, ada yang kehilangan orang tersayang dan terjejas pendapatan, petugas barisan hadapan mengambil risiko yang besar setiap hari manakala peniaga-peniaga pula risau untuk terus bertahan.

“Tetapi ini sahajalah cara untuk kita memutuskan rantaian jangkitan virus ini dengan secepat mungkin. Setelah itu barulah kita semua boleh secara perlahan-lahan meneruskan kehidupan,” titah baginda sambil mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan ini kepada semua umat Islam.

Sultan Ibrahim turut bertitah baginda berdoa supaya rakyat dikurniakan keberkatan dan kerahmatan untuk segera bangkit daripada wabak yang melanda.

Kepada Bangsa Johor bukan beragama Islam pula, baginda berharap supaya mereka turut bersama-sama berdoa, mengikut cara masing-masing untuk kebaikan semua.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.