Pembinaan Pre-Sedimentation Tank Atasi Masalah Air Mentah Keruh Di Raub –Wan Rosdy

KUANTAN, 23 April – Masalah kekeruhan tinggi pada sumber air mentah di daerah Raub, dijangka selesai selepas pembinaan ‘pre-sedimentation tank’ menggunakan peruntukan sebanyak RM18 juta daripada kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata kerja itu yang dilakukan oleh Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) bermula pada Isnin lepas dan dijangka siap dalam tempoh 18 bulan meliputi kerja reka bentuk dan perolehan selama enam bulan.

“Pembinaan pre-sedimentation tank ini melibatkan Loji Rawatan Air Sungai Bilut, Sungai Semantan dan Sungai Klau dengan matlamat utama mengurangkan kadar kekeruhan sumber air mentah sebelum mengalir ke loji rawatan terlibat.

“Ia bagi mencapai kualiti yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dan membolehkan sumber air mentah itu dirawat sebelum dibekalkan kepada penduduk sekitar daerah itu,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Keadaan sumber air mentah yang keruh menyebabkannya tidak sesuai dirawat dan proses di LRA terpaksa dihentikan sementara sehingga berlaku gangguan bekalan air di daerah tersebut.

Selain itu, Wan Rosdy juga berkata PAIP akan segera melaksanakan projek rintis pembinaan kolam takungan hiliran (ORS) di Lipis menggunakan peruntukan sebanyak RM12 juta daripada peruntukan kerajaan negeri.

Ini bagi memastikan bekalan air mentah mencukupi meskipun pada musim panas, dengan kerja dijangka mengambil masa selama 19 bulan untuk siap selepas dimulakan.

“Kaedah ORS ini juga dapat mengurangkan kadar kekeruhan air pada sumber air mentah yang seterusnya dapat menjimatkan kos operasi kerja rawatan air di LRA daerah tersebut,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.