Operasi Pasar Awam, Kenderaan Awam Dilanjut Ketika Ramadan

PUTRAJAYA, 23 April – Kerajaan membenarkan operasi pasar awam dilanjutkan dari pukul 6.00 pagi hingga 2.00 petang ketika bulan Ramadan, berbanding pukul 6.00 pagi hingga 12.00 tengah hari sebelum ini sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata selain itu, kerajaan juga memutuskan untuk membenarkan kenderaan awam beroperasi lebih awal iaitu dari pukul 4.00 petang hingga 10.00 malam, berbanding pukul 5.00 petang hingga 10.00 malam sebelum ini.

Katanya, kelonggaran waktu ini diberi bagi memudahkan umat Islam membuat persediaan berbuka puasa sepanjang Ramadan.

“Sepanjang bulan Ramadan, SOP (prosedur operasi standard) PKP seperti yang diumumkan sepanjang PKP1, 2 dan 3 masih terpakai,” katanya dalam sidang media harian mengenai PKP di sini, hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata setakat semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan sebanyak 835 sekatan jalan raya di seluruh negara dan melakukan pemeriksaan ke atas 581,942 kenderaan.

“Sebanyak 41,184 pemeriksaan mengejut telah diadakan dengan sebanyak 6,658 premis telah diperiksa oleh pihak berkuasa, 763 individu telah ditangkap polis kerana ingkar PKP yang merangkumi 648 individu direman dan 115 dijamin polis.

“Seramai 860 individu juga dituduh di mahkamah semalam dan jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP sehingga semalam adalah sebanyak 18,498 individu,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 253 operasi sanitasi meliputi 79 zon di 13 negeri, termasuk 39 kawasan di Johor dan 26 di Perak telah dijalankan, merangkumi 181 bangunan kerajaan, 158 tempat awam, 103 pusat perniagaan dan 16 pasar raya setakat semalam.

”Secara keseluruhan, sebanyak 2,423 bangunan kerajaan, 1,498 tempat awam, 1,590 pusat perniagaan, 248 pasar raya dan 1,205 kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat telah disanitasi,” katanya.

Ismail Sabri berkata sebanyak 201 pusat kuarantin telah beroperasi setakat hari ini, berbanding 196 pada hari sebelumnya, dan 15,880 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib.

“Semalam, seramai 535 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air dan telah dikuarantin wajib.

“Seramai 16,416 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara telah dikuarantin wajib sejak 3 April lepas, dan 4,908 inidvidu telah selesai menjalani tempoh kuarantin wajib dan dibenarkan pulang sejak 17 April,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.