COVID-19: Bilangan Kes Harian Konsisten Dua Angka Pada 71, Dua Lagi Kematian – KP Kesihatan

PUTRAJAYA, 23 April – Malaysia menyaksikan bilangan kes positif COVID-19 secara harian yang konsisten iaitu pada kadar dua angka dalam tempoh tujuh hari berturut-turut dan pada masa sama mencatat dua lagi kes kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata terdapat 71 kes baharu yang telah dilaporkan sekali gus menjadikan jumlah kes kumulatif kini sebanyak 5,603 kes.

Beliau berkata sebanyak 90 kes COVID-19 telah pulih dan discaj hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dan discaj daripada wad adalah sebanyak 3,542 kes.

“Seperti trend yang dilihat kebelakangan ini, bilangan kes yang discaj hari ini adalah melebihi bilangan kes yang dilaporkan.

“Terdapat pertambahan dua lagi kes kematian berkaitan COVID-19. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 95 kes iaitu 1.70 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.

Malaysia merekodkan jumlah kes positif harian kurang daripada 100 kes sejak 17 April lepas iaitu sebanyak 69 kes, dan kes pada paras dua angka itu kekal sehingga kini dengan 54 kes (18 April), 84 kes (19 April), 36 kes (20 April), 57 kes (21 April) dan 50 kes (22 April).

Beliau juga berkata jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,966 kes dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Dr Noor Hisham berkata sehingga kini, 42 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, 21 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Kes kematian ke-94 (kes ke-3,871) merupakan perempuan warga negara Malaysia berumur 32 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi.

“Beliau merupakan anggota perubatan KKM dan mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19 iaitu kes ke-3,662 (yang berkaitan dengan kluster hospital pakar Muar, Johor).

“Beliau telah dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 6 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 23 April 2020 jam 12.36 tengah malam. Ini merupakan kematian ketiga di kalangan anggota kesihatan KKM,” katanya.

Kes kematian ke-95 (kes ke-4,129) merupakan lelaki tempatan berumur 67 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan penyakit buah pinggang.

Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19 iaitu kes ke-1,575 (yang berkaitan dengan kluster PUI Bali) dan dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang pada 8 April 2020 serta disahkan meninggal dunia pada 22 April 2020 pukul 11.48 malam.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.