Agong Berkenan Adakan Sidang Video Bersama Dr Zulkifli

KUALA LUMPUR, 23 April – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menerima menghadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi sidang video selama 30 minit di Istana Negara.

Istana Negara dalam catatan di laman Instagram rasmi (istana_negara) memaklumkan secara lazimnya majlis menghadap bersama Seri Paduka berlangsung secara bersemuka di Istana Negara.

Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengekang penularan COVID-19, Al-Sultan Abdullah berkenan supaya majlis menghadap dan mesyuarat PraKabinet tetap dilaksanakan menerusi sidang video semasa tempoh PKP.

“Ini mencerminkan keprihatinan tinggi Al-Sultan Abdullah terhadap pentadbiran negara dan kesejahteraan rakyat,” menurut catatan itu.

Laman Instagram itu turut memuat naik dua keping gambar sidang video Al-Sultan Abdullah bersama Zulkifli. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.