Kesemua 22 Mukim Perlis Capai Zon Hijau

ARAU, 22 April – Kesemua 22 mukim di Perlis mencapai zon hijau COVID-19 sejak 15 April, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis Dr Sirajuddin Hashim.

Beliau berkata tiada kes COVID-19 baharu yang direkodkan dalam tempoh itu di 22 mukim berkenaan.

“Enam belas daripada 18 kes telah sembuh manakala dua lagi dalam pengawasan JKN,” katanya kepada pemberita pada majlis serahan peralatan perlindungan diri (PPE) di Pusat Latihan Koreksional Perlis (PKPs) di sini, hari ini.

Dr Sirajuddin berkata seramai 20 orang yang memasuki negeri ini masih dikuarantin di dua pusat kuarantin negeri iaitu 15 orang di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kangar dan empat orang di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (Kejururawatan), Kangar.

Beliau berkata keputusan peringkat seterusnya mengenai status COVID-19 di Perlis akan dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas ini.

Sementara itu, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man ketika dihubungi Bernama berkata kerajaan negeri percaya dengan kemampuan KKM dalam menguruskan pembendungan wabak COVID-19 dan mereka telah melakukan usaha terbaik.

“Kita (Kerajaan negeri) menyerahkan sepenuhnya kepada KKM dalam menentukan perkara ini kerana mereka mempunyai kriteria tersendiri (menentukan negeri zon hijau),” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.