COVID-19: Ujian Kekuatan Tingkatkan Amalan Di Bulan Ramadan – Sultan Mizan

KUALA TERENGGANU, 22 April – Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru rakyat negeri ini agar menjadikan wabak pandemik COVID-19 sebagai satu ujian kekuatan untuk melipatgandakan amalan terutama sepanjang bulan Ramadan pada tahun ini.

Baginda bertitah sekiranya wabak COVID-19 ini masih berterusan dan larangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diteruskan, suasana Ramadan tahun ini pasti akan berbeza yang tiada lagi kelaziman dalam amalan ibadah seperti dilakukan sebelum ini.

“Tiada lagi solat tarawih yang biasa dilakukan secara berjemaah di masjid dan surau, tiada lagi tadarus al-Quran secara beramai-ramai di masjid atau surau selepas bertarawih dan tiada lagi kedengaran selawat beramai-ramai selepas setiap solat tarawih.

“Namun begitu ia bukan alasan kepada kita untuk tidak merebut peluang akan ganjaran pahala yang dijanjikan oleh Allah SWT, walaupun suasananya berbeza tetapi kita perlu yakin bahawa ganjaran pahala yang dijanjikan oleh Allah SWT tidak akan berkurang walaupun sedikit sebagaimana tahun-tahun sebelumnya bagi sesiapa yang menghidupkan Ramadan dengan amal ibadat seperti solat sunat tarawih, berzikir, bertahmid, berselawat, bertadarus dan lain-lain ibadat yang digalakkan untuk kita lakukan.

“Justeru, teruskanlah dengan melakukan solat tarawih di rumah secara berjemaah bersama ahli keluarga, bertadarus al-Quran di samping amalan-amalan sunat yang lain,” titah baginda dalam perutusan khas hari ini sempena menyambut ketibaan Ramadan tidak lama lagi.

Sultan Mizan turut menzahirkan perasaan dukacita terhadap rakyat Terengganu yang terkesan dan terjejas dengan wabak tersebut terutama mereka yang didapati positif COVID-19.

“Ada yang meninggalkan kita buat selama-lamanya disebabkan wabak ini. Beta mendoakan supaya mereka yang masih menerima rawatan akan kembali sembuh dan sihat seperti sediakala.

“Kepada ahli keluarga yang kehilangan insan tersayang disebabkan wabak ini, beta menzahirkan rasa sedih dan berdukacita atas ujian yang berat ini serta merakamkan ucapan takziah dan diharap ahli keluarga dapat bersabar menghadapi ujian ini. Beta mendoakan semoga roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan kalangan orang-orang beriman,” titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Mizan turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua petugas di barisan hadapan yang terdiri daripada doktor, jururawat dan semua kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA dan semua pihak yang telah melaksanakan tugas dengan cemerlang bagi mengekang wabak COVID-19 dari terus merebak dan memastikan ia terkawal.

“Tahniah dan syabas beta ucapkan, semoga ia menjadi amal jariah yang akan diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT,” titah baginda.

Sultan Mizan juga berharap agar semua rakyat di negeri itu sentiasa mematuhi peraturan dan arahan yang ditetapkan oleh kerajaan sepanjang PKP berkuat kuasa, menjaga kebersihan diri serta keluarga dan mengamalkan jarak sosial demi mencegah penularan COVID-19.

“Banyakkan berdoa ke hadrat Allah SWT supaya dihilangkan segera wabak ini dari negeri dan negara kita. Jadikanlah ujian yang dilalui ini menjadi asbab peningkatan keimanan dan ketakwaan kita.

“Harapan beta, bersabarlah dalam menghadapi ujian ini lebih-lebih lagi di sepanjang bulan Ramadan nanti. Semoga berkat kesabaran kita, di akhir nanti akan adanya kegembiraan buat kita semua, insya-Allah,” titah baginda yang turut mendoakan semua rakyat berada dalam keadaan sihat dan selamat, sentiasa di dalam perlindungan Allah SWT dan menjalani ibadah puasa dengan penuh keimanan dan ketakwaan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.