COVID 19: KKM Kenal Pasti Kluster Baharu Di Pengerang, Libat 15 Kes Positif

PUTRAJAYA, 22 April – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesan satu kluster baharu yang bermula di Pengerang, Johor.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Noor Hisham Abdullah berkata kes indeks kluster berkenaan merupakan kes ke-1508 yang mula mengalami gejala pada 12 Mac.

“Beliau telah dirawat di sebuah klinik swasta pada 16 Mac dan disyaki sebagai menghidap demam denggi.

Pada keesokan hari, beliau telah merentas beberapa buah negeri untuk mengunjungi sanak saudara di sekitar Selangor sebelum pulang ke Pengerang pada 18 Mac,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata keadaan kesihatan pesakit itu mula merosot dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor pada 20 Mac dalam keadaan yang kritikal dan beliau seterusnya disahkan positif jangkitan COVID-19 pada 22 Mac.

Katanya, setakat 22 April, kluster tersebut melibatkan sebanyak 15 kes positif COVID-19 iaitu 10 orang rakan sekerja dan lima orang ahli keluarga termasuk ibu pesakit yang berusia 79 tahun dan anak perempuannya berusia 10 tahun.

“Sebanyak tujuh kes daripada kluster ini masih dalam rawatan manakala lapan kes lagi telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj.

Manakala tiga kes di dalam kluster ini telah dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya.

Lebih 30 kluster berkaitan COVID-19 telah dikesan di negara ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham menasihatkan umat Islam di negara ini agar menggunakan peluang semasa bulan Ramadan yang bakal tiba untuk menjalankan aktiviti dan amalan keagamaan seperti persediaan juadah berbuka puasa dan solat berjemaah dengan keluarga di rumah masing-masing.

Katanya mengambil iktibar daripada penyebaran jangkitan COVID-19 dalam kluster Pengerang dan sub-kluster Rembau, masyarakat diminta kekal patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mengelak daripada melakukan sebarang aktiviti kunjung mengunjung ke rumah rakan dan sanak saudara pada bulan Ramadan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.