Waktu Operasi Imigresen Di Tambak Johor Dihadkan – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 21 April – Waktu operasi Jabatan Imigresen Malaysia dan agensi berkaitan di Bangunan Sultan Iskandar di Tambak Johor akan dihadkan kepada 7 pagi hingga 7 malam mulai Jumaat ini, umum Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun, beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata rakyat Malaysia dari Singapura boleh terus menggunakan pintu masuk ke dalam negara melalui Kompleks Sultan Abu Bakar di Laluan Kedua yang akan terus beroperasi 24 jam, seperti biasa.

“Maka jika ada kecemasan, ada keperluan rakyat kita untuk pulang ke Malaysia selepas waktu Tambak Johor (Bangunan Sultan Iskandar) ditutup, mereka boleh guna Link Kedua untuk pulang, jika ada kecemasan seperti kematian dan sebagainya.

“Di situ, di Link Kedua, kenderaan komersial boleh bergerak seperti biasa,” katanya pada sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini, hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata berdasarkan laporan Jabatan Imigresen Malaysia, tiada kemasukan besar-besaran yang melibatkan kepulangan rakyat Malaysia dari Singapura dan purata kemasukan setakat empat hari lepas ialah 400 orang sehari.

“Malah di pusat kuarantin Johor, dianggarkan lebih kurang 350 orang sehari dibenarkan pulang dan dengan kemasukan baru, kita masih boleh menampung,” katanya dan menambah bahawa kerajaan menyediakan 6,000 bilik bagi tujuan kuarantin wajib di 22 pusat kuarantin di Johor Bahru dan kawasan sekitar.

Bagaimanapun, beliau berkata Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) diarahkan supaya menambah 4,000 bilik lagi yang menjadikan keseluruhannya 10,000 bilik kuarantin di Johor serta bandar-bandar berdekatan bagi menampung kepulangan yang lebih besar sekiranya berlaku.

Setakat hari ini, Ismail Sabri berkata sebanyak 193 pusat kuarantin beroperasi dan 16,844 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib.

Seramai 14,937 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dikuarantin wajib sejak 3 April lepas dan 2,317 individu selesai menjalani tempoh kuarantin wajib berkenaan dan dibenarkan pulang. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.