Sultan Kelantan Perkenan Peruntukan MAIK Untuk Baginda Di Bulan Ramadan Disalur Kepada Asnaf

KOTA BHARU, 21 April (Bernama) — Sultan Kelantan Sultan Muhammad V berkenan supaya peruntukan yang disediakan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bagi tujuan program bersama baginda di bulan Ramadan disalurkan untuk membantu golongan asnaf yang kini terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengelola Istana D’Raja Kelantan Datuk Nik Mohd Shafriman Nik Hassan dalam satu kenyataan berkata selain itu, baginda juga mahu MAIK meneruskan penyaluran bantuan kepada golongan asnaf di negeri ini sehingga keadaan kembali pulih seperti biasa.

Beliau berkata Sultan Kelantan menzahirkan kesyukuran kehadrat Allah SWT apabila melihat kepada perkembangan semasa statistik kes jangkitan COVID-19 di seluruh negeri ini yang mana puncak jangkitan sudah dilihat semakin melandai berikutan kes jangkitan yang berkurang.

“Bagaimanapun, pematuhan fasa ketiga PKP ini adalah penting dalam memastikan penularan virus COVID-19 dalam komuniti dapat dikawal dan diputuskan,” katanya.

Sultan Kelantan bagaimanapun menzahirkan rasa dukacita kerana tidak dapat bersama rakyat pada tahun ini untuk berbuka puasa dan menunaikan solat tarawih di masjid seperti tahun-tahun lepas dan sesungguhnya mengharapkan agar seluruh rakyat Kelantan dapat menunaikan solat tarawih secara berjemaah di rumah masing-masing.

“Baginda sentiasa mendoakan supaya seluruh rakyat sentiasa dilindungi oleh Allah SWT dalam menghadapi musibah wabak COVID-19 ini,” katanya.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.