Pengurusan Penyelenggaraan Jalan Berturap Sabah Kurang Cekap, Tidak Capai Objektif – Audit

KOTA KINABALU, 21 April — Pengurusan penyelenggaraan jalan berturap di Sabah oleh konsesi atau kontraktor penyelenggaraan adalah kurang cekap dan tidak mencapai objektif penyelenggaraan jalan yang ditetapkan sepenuhnya, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2018, Siri 2, dikeluarkan semalam, berdasarkan Road Condition Index pada 2018,55.3 peratus jalan berturap negeri berada di bawah skala 3 (sederhana) dan skala 4 (teruk) yang memerlukan penyelenggaraan berkala, manakala 4.5 peratus berada di bawah skala 5 (jalan tidak boleh disenggara) yang memerlukan kerja pembinaan semula.

Pengauditan dijalankan antara Oktober 2018 hingga Januari 2019 itu turut mendapati wujud kelemahan dalam aspek pencapaian kewangan, kualiti kerja penyelenggaraan, pentadbiran kontrak dan pemantauan yang perlu ditambah baik untuk meningkatkan kecekapan pengurusan penyelenggaraan jalan di Sabah.

Pengurusan penyelenggaraan jalan berturap Sabah adalah di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri.

Sementara itu, antara penemuan Audit yang perlu diberi perhatian adalah pelaksanaan penyelenggaraan berkala pavement bagi 160 jalan berturap negeri dengan panjang 668.51 km melibatkan anggaran kos berjumlah RM198.97 juta terpaksa ditangguhkan.

“Hal ini kerana peruntukan yang diluluskan hanya berjumlah RM50.65 juta,” menurut laporan itu.

Selain itu, syarat kontrak tidak menjaga kepentingan kerajaan kerana tidak menetapkan kuantiti minimum kerja penyelenggaraan rutin yang perlu dilaksanakan bagi pavement (R01) dan bahu jalan (R02); dan pemantauan terhadap pelaksanaan penyelenggaraan kurang berkesan.

Bagi tujuan penambahbaikan dan memantapkan lagi pengurusan penyelenggaraan jalan berturap negeri oleh konsesi dan kontraktor penyelenggaraan, pihak Audit mengesyorkan kerajaan negeri mempertimbangkan untuk menambah peruntukan penyelenggaraan jalan negeri bagi membolehkan penyelenggaraan dapat dilaksanakan mengikut perancangan.

Penyelenggaraan yang mencukupi dapat mengelakkan kerosakan jalan menjadi lebih teruk dan memerlukan kos penyelenggaraan dan pembaikan lebih tinggi pada masa hadapan.

JKR juga perlu meningkatkan pemeriksaan dan pemantauan untuk memastikan kerja penyelenggaraan rutin yang dilaksanakan oleh konsesi dan kontraktor penyelenggaraan mematuhi syarat kontrak dan berkualiti.

Audit turut mengesyorkan kerajaan mempertimbangkan untuk menyemak semula terma dan syarat kontrak yang tidak memihak atau menjaga kepentingan kerajaan seperti menetapkan kuantiti minimum atau membuat bayaran berdasarkan kerja sebenar bagi kerja penyelenggaraan R01 dan R02.

Kadar bayaran bagi penyelenggaraan rutin untuk konsesi/kontraktor penyelenggaraan hendaklah diseragamkan dan denda dikenakan sekiranya kerja penyelenggaraan tidak dilaksanakan mengikut spesifikasi, menurut laporan itu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.