Kedutaan Somalia Rakam Penghargaan Kepada Kerajaan Malaysia, Barisan Hadapan

KUALA LUMPUR, 21 April – Kedutaan Somalia di Malaysia menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, serta semua petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus menangani wabak COVID-19.

Menerusi kenyataan kepada Bernama, Dutanya Abukar Abdi Osman berkata kedutaan turut berterima kasih kepada Malaysia atas keperihatinan negara ini dengan menyediakan kemudahan rawatan secara percuma kepada warga asing yang dijangkiti COVID-19.

“Pada ketika semua duduk di rumah, ada segelintir yang terpaksa mempertaruhkan nyawa untuk menyelamatkan kita. Terima kasih kami ucapkan,” katanya.

Sementara itu, Abukar – ketika dihubungi Bernama berkata – komuniti Somalia di Malaysia mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan langkah pencegahan yang lain.

Katanya, terdapat kira-kira 4,000 warga Somalia di Malaysia, yang kebanyakannya terdiri pelajar dan ahli keluarga mereka.

Abukar berkata kedutaan ditutup sehingga 28 April dan operasi dijalankan dari rumah. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.