Buat Persiapan Segera Untuk Hadapi Ekonomi Pasca COVID-19 – Tengku Hassanal

KUANTAN, 20 April – Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menitahkan kerajaan negeri Pahang untuk membuat persiapan segera bagi menghadapi suasana baharu ekonomi pasca COVID-19.

Tengku Hassanal bertitah normal baharu dijangka berlaku dalam aspek ekonomi dan sosial ekoran penularan wabak COVID-19 yang dihadapi dunia selain ramalan kelembapan ekonomi global yang akan turut menjejaskan negara.

Sebagai contoh Tengku Hassanal bertitah kerajaan negeri boleh menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Pahang yang mengumpulkan mereka yang pakar selain berbincang dengan pemain industri termasuk daripada industri kecil dan sederhana untuk mendapatkan pandangan mereka.

“Semoga penubuhan majlis tindakan ini dapat memulihkan semula ekonomi negeri dan sumber kewangan rakyat yang terjejas akibat pandemik COVID-19. Kerajaan negeri perlu merancang inisiatif yang lebih menyeluruh supaya semua pihak dapat bersedia dan berikhtiar.

“Ini bagi merancakkan semula aktiviti perniagaan dan pelaburan serta memastikan jentera kerajaan negeri berfungsi dengan lebih cekap dan berkesan. Saya mendoakan usaha ini diberkati dan dipermudahkan Allah,” titah baginda.

Tengku Hassanal bertitah demikian semasa mencemar duli merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini, menerusi rakaman video, sebagai mematuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berlangsung.

Tengku Hassanal juga menzahirkan ucapan tahniah kepada pembentukan kerajaan Perikatan Nasional di bawah pentadbiran Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan berbesar hati dengan pelantikan enam Ahli Parlimen dari Pahang sebagai menteri dan timbalan menteri.

Mereka ialah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dari Bera, Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib (Maran), Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (Kuala Krau), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (Lipis) dan Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar).

Pelantikan itu, menurut Tengku Hassanal diharapkan dapat mengeratkan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri ke arah pengukuhan pembangunan ekonomi untuk kesejahteraan rakyat Pahang.

“Bagi perancangan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 mulai 2021 kelak, saya berharap semua pihak dapat menggembleng usaha dengan sebaik mungkin untuk menarik lebih banyak projek pembangunan ke Pahang.

“Berikan kerjasama yang baik dengan kerajaan Persekutuan seperti menyediakan lokasi tanah yang strategik dan pengurusan projek yang cekap. Tadbir urus yang baik dan efisien dapat memastikan projek yang dirancang dapat dilaksanakan dalam tempoh masa yang ditetapkan,” titah baginda.

Tengku Hassanal juga menyeru pentabiran negeri di bawah Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dapat memastikan semua 22 inisiatif berjumlah RM24.34 juta bagi membantu mereka yang terkesan dengan COVID-19 dan sumbangan Tabung COVID-19 Pahang digunakan sebaik mungkin untuk membantu rakyat.

Baginda seterusnya menzahirkan ucapan terima kasih kepada sumbangan daripada syarikat korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berjumlah RM4.83 juta dan RM145,000 daripada penjawat awam Pahang dan kesediaan Menteri Besar, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) dan wakil rakyat negeri ini memotong gaji untuk disumbangkan kepada tabung tersebut.

“Sekalung penghargaan dan terima kasih juga saya rakamnya kepada petugas barisan hadapan atas khidmat bakti mereka dan semua petugas yang terlibat secara langsung atau tidak dalam membendung COVID-19. Hanya Allah sahaja yang mampu membalas jasa ini,” titah baginda.

Tengku Hassanal juga menitahkan rakyat Pahang untuk terus mematuhi arahan kerajaan sepanjang pelaksanaan PKP yang telah mula dilaksanakan sejak 18 Mac lepas dan menjaga kebersihan diri untuk membantu memutuskan rantaian COVID-19. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.