Talian ‘PERTIWI’ Platform Warga Kota Berinteraksi Terus Dengan Menteri Wilayah Persekutuan- Annuar

KUALA LUMPUR, 19 April –  Kementerian Wilayah Persekutuan hari ini melancarkan talian ‘Pertanyaan dan Pengaduan kepada Menteri Wilayah Persekutuan’ (PERTIWI) sebagai platform warga kota berinteraksi secara terus dengan menteri.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata mereka boleh mengajukan sebarang cadangan, pandangan atau aduan rakyat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan menerusi saluran WhatsApp iaitu 013-6806 666 dan 013-6887 777.

“Saya mengilhamkan satu kaedah begini yang mana semua orang di luar sana boleh kemukakan pertanyaan secara langsung kepada saya. Mungkin nak ajukan soalan kepada ketua jabatan agak sukar kerana masing-masing sibuk dengan tanggungjawab mereka.

“Maka dengan saluran ini juga, saya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan pun dapat memahami dengan lebih jelas masalah mereka seterusnya dapat menyelesaikannya secara efektif,” katanya ketika siaran langsung Facebook di sini hari ini.

Beliau berkata orang ramai boleh mengajukan soalan menerusi WhatsApp dalam Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin atau Tamil.

“Kami mempunyai pegawai yang boleh membantu menterjemahkannya dari Bahasa Mandarin dan Tamil serta cuba sedaya upaya untuk memberi maklum balas secepat mungkin. Namun ia bergantung juga kepada isu kerana sesetengahnya kami perlu tujukan kepada jabatan-jabatan dan agensi terlibat,” katanya.

Annuar juga berkata setakat semalam, tiada kes positif dilaporkan di ketiga-tiga kawasan yang masih diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan iaitu Selangor Mansion, Malayan Mansion dan Menara City One.

“Kami berharap situasi ini dapat dikekalkan sehingga tamat PKPD iaitu pada 28 April,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Annuar berkata bangunan kerajaan sekitar ibu kota seperti Saloma Link, Menara DBKL serta bangunan di Putrajaya akan dinyalakan lampu biru pada 30 April bermula 10.30 malam hingga 1 pagi sempena Sambutan Hari Pekerja.

Beliau berkata ia sebagai tanda penghargaan dan peringatan kepada petugas barisan hadapan dalam bidang perubatan yang bertungkus-lumus menyumbang tenaga bagi memerangi pandemik COVID-19.

“Biru merupakan warna lambang kepada profesion perubatan dan kami akan menyalakan lampu itu selama tiga hari berturut-turut bermula 30 April hingga 3 Mei.

“Selain itu, kami turut mengalu-alukan bangunan swasta untuk mengikut jejak langkah kami menyalakan lampu biru pada waktu malam,” katanya. –  BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.