Peniaga, Penjaja Perlu Daftar E-Bazar@Melaka – Ketua Menteri

MELAKA, 19 April – Semua peniaga dan penjaja kecil di negeri ini perlu mendaftar dan dilesenkan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing menerusi sistem e-Bazar@Melaka bagi membolehkan mereka berniaga secara dalam talian pada bulan Ramadan ini.

Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali berkata permohonan tidak akan dikenakan sebarang caj mahupun bayaran lesen berniaga ataupun penghantar makanan oleh semua PBT dan perlu mematuhi syarat seperti lesen, pemeriksaan kesihatan, kursus dan suntikan tifoid.

“Peniaga juga perlu mengamalkan pengendalian makanan yang mematuhi garis panduan kesihatan dan kebersihan makanan dan digalakkan melaksanakan bayaran urus niaga secara online dan tanpa tunai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas penyampaian sumbangan alat pelindungan diri (PPE) dan kit makanan oleh Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Melaka dan Lions Club of Tanjung Bidara di Peringgit, di sini, hari ini.

Sulaiman berkata, semua peniaga dan penjaja kecil juga mesti melantik dua orang penghantar makanan atau runner yang perlu berdaftar dengan PBT bagi tujuan kebenaran penghantaran makanan kepada pembeli.

Katanya, bagi perkhidmatan penghantar makanan mereka perlu memiliki lesen selain menepati masa penghantaran makanan dan minuman iaitu mulai 4 petang hingga 7 petang serta jarak penghantaran tidak melebihi 10 kilometer serta mematuhi syarat-syarat lesen yang lain.

Pendaftaran peniaga dan penjaja secara dalam talian mengikut pautan setiap PBT seperti Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) http://msdesk.mbmb/gov.my/event/daftar.cfm; Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) https://grgo.page.link/2GLin; Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) https://grgo.page.link/2GLin; dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) http://www.ammphtj.gov.my/ebazar/ dan bagi pendaftaran untuk penghantar makanan, perniagaan : https://qrgo.page.link/2GLin dan runner : https://qrgo.page.link/By28G.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.